Jenis_Kanser - Ubat Penawar Kanser Efektif - Keladi Tikus Malaysia (Typhonium Flagelliforme, Rodent Tuber, Laoshu yu)

Go to content

Main menu:

Maklumat Kanser
Jenis jenis kanser
Terdapat lebih dari 100 jenis kanser yang telah direkodkan, bermula dari Acute granulocytic leukemia yang tergolong dalam jenis kanser darah sehinggalah kepada Osteosarcoma (kanser pada tulang). Setiap jenis kanser biasanya dinamakan mengikut organ atau tisu dimana ianya terbentuk, dan biasanya akan dikenalpasti menggunakan kaedah imbasan atau persempelan dimana sampel sel akan diambil melalui teknik pembedahan sebelum di diagnos. Sebelum satu-satu sel itu menjadi kanser, ianya melalui beberapa proses perubahan terlebih dahulu seperti Hyperplasia dan Dysplasia sebelum berubah menjadi sel kanser.

Kanser terbahagi kepada beberapa jenis, di antaranya adalah:

Limfoma (Lymphoma)
limfoma (lymphoma) yang juga dikenali dengan kanser limfa, adalah sejenis kanser yang melibatkan sel-sel sistem imun di dalam tubuh. Ia adalah permasalahan sel darah putih yang juga dikenali dengan panggilan limfosit. Sama juga seperti kanser lain yang mewakili pelbagai penyakit yang berbeza, kanser limfoma mewakili pelbagai jenis kanser limfosit - kira-kira 60 sub jenis yang berbeza.

Limfoma adalah sejenis kanser yang memberi kesan terhadap sel-sel yang terlibat secara langsung dalam sistem limfatik badan. Sistem limfatik ini adalah penting bagi mengekalkan keseimbangan cecair di dalam badan. Antara organ yang bersangkutan dengan sistem ini adalah kelenjar timus, limpa, tulang sum-sum, tonsil dan apendik. Apabila seseorang pesakit itu mempunyai kanser limfoma, limfosit akan berubah dan berkembang di luar kawalan. Limfoma boleh terjadi hampir di mana sahaja pada tubuh dan boleh berlaku pada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kanser limfoma mempunyai dua pecahan utama:

  • Limfoma Hodgkin - merupakan kanser sistem limfa yang membentuk sebahagian daripada sistem imun tubuh. Ianya mengandungi sel-sel darah putih khusus dipanggil limfosit yang membantu melindungi tubuh daripada jangkitan penyakit. Limfoma Hodgkin ini terjadi apabila limfosit menjalani perubahan malignan dan membiak dengan cara yang tidak normal dan akan membentuk tumor pada bahagian kelenjar atau bahagian yang lain di dalam badan. Kanser limfoma Hodgkin ini mungkin dapat dibezakan dengan mana-mana jenis limfoma yang lain berikutan kehadiran sel kanser khas yang dipanggil Reed-Strenberg Cell. Secara kasarnya kanser jenis ini disebabkan oleh permasalahan sel darah putih yang menyebabkan pembengkakan kelenjar.

  • Limfoma bukan Hodgkin - juga adalah kanser yang terbentuk dalam sistem limfa, yang merupakan rangkaian saluran kelenjar di dalam badan. Di dalam sistem limfa terdapat cecair jernih yang mengalir melalui salur limfa yang mengandungi sel-sel darah putih, permasalahan berlaku apabila sel-sel darah putih ini yang juga dikenali dengan nama limfosit ini terjejas dan mula membiak dengan cara yang tidak normal seterusnya berkumpul pada bahagian-bahagian tertentu pada sistem limfa namun tidak menyebabkan ketumbuhan atau benjolan. Kanser jenis ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun ianya lebih kepada mereka yang mempunyai usia 65 tahun dan keatas. Secara umumnya kanser jenis ini lebih tertumpu kepada sel darah putih dalam sistem limfa namun tidak menyebabkan sebarang pembengkakan.

Kedua-dua jenis kanser ini boleh membawa maut.

Sarcoma
Merupakan kanser jenis malignant yang terbentuk pada tisu yang bersambung (connective tissue) seperti tulang dan juga tisu lembut yang ada pada badan manusia, ini termasuklah pada daging, lemak, saluran darah serta saluran kelenjar. Walaupun diklasifikasikan sebagai kanser yang jarang berlaku, sarcoma mempunyai lebih dari 50 jenis dan biasanya terbahagi kepada dua kategori; jenis yang tumbuh pada tisu lembut seperti daging dan jenis yang tumbuh pada tulang, ketumbuhan pada tulang biasanya dikenali dengan nama Osteosarcoma. Sarcoma boleh dirawat dan pada kebiasaannya pembedahan akan digunakan bagi membuang kawasan yang telah terkena jangkitan namun ia mampu menyerang kembali selepas beberapa tahun jika tiada langkah kawalan diambil.

Risiko terjadinya sarcoma.
Tidak ada dokumen atau hujah kukuh mengenai punca sebenar kehadiran sarcoma pada tubuh manusia, namun terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko terjadinya serangan, antaranya adalah:

  • Individu yang mempunyai pertalian darah dengan mereka yang pernah mengidap sarcoma.
  • Individu yang penyakit tulang yang dikenali dengan nama penyakit paget.
  • Individu yang mempunyai masalah genetik seperti neurofibromatosis, Gardner syndrome, retinoblastoma, atau Li-Fraumeni syndrome.
  • Individu yang pernah terdedah kepada radiasi, biasanya pada sesi rawatan kanser sebelumnya.

Tanda-tanda sarcoma.
Sarcoma yang menyerang tisu lembut adalah sangat sukar untuk dikenali sehingga ianya membesar pada tahap mampu dikesan, ketumbuhan jenis ini mampu tumbuh pada mana-mana bahagian di dalam badan. Antara tanda awal kehadiran ketumbuhan ini adalah wujudnya ketulan namun tidak menyakitkan, pada saat ketulan itu telah besar, ianya akan menghimpit saluran darah atau otot sehingga menyebabkan ketidakselesaan atau kesukaran bernafas jika ia tumbuh pada sekitar paru-paru. Tidak ada kaedah khas untuk mengesan kehadiran awal ketumbuhan ini sehinggalah simtom kehadirannya dapat dikesan sepenuhnya.

Osteosarcoma (kanser tulang)
Kanser tulang biasanya dapat dikesan pada awal kehadirannya, ia biasanya diawali dengan kesakitan pada kawasan yang terjejas, dan akan menjadi semakin sakit terutama pada waktu malam, manakala bengkak pula akan muncul selepas seminggu kesakitan itu hadir. Kanak-kanak dan pemuda lebih terdedah kepada risiko terkenanya penyakit osteosarcoma ini berbanding orang dewasa, dan oleh kerana ianya menyerang bahagian tulang, osteosarcoma ini selalunya dianggap sebagai kecederaan biasa, terutamanya bagi remaja yang selalu bersukan.



Leukemia
Leukemia adalah sejenis kanser yang terbentuk pada tisu yang menghasilkan darah yang terdapat pada tulang sum-sum. Kanser jenis ini tidak mempunyai bentuk tumor fizikal seperti kanser yang biasa, sebaliknya, ia terarah kepada lebihan sel darah putih pada proses penghasilan darah sehingga menjejaskan fungsi utama darah merah normal seperti membekalkan oksigen kepada organ dan tisu badan, mengawal pendarahan serta melawan jangkitan penyakit. Terdapat empat jenis leukemia yang utama, antaranya adalah:

  • Acute myeloid leukemia (AML)
  • Chronic myeloid leukemia (CML)
  • Acute lymphocytic leukemia (ALL)
  • Chronic lymphocytic leukemia (CLL)

  • Acute myeloid leukemia (AML)
Leukemia jenis ini biasanya menyerang orang dewasa berbanding kanak-kanak, dan kaum lelaki lebih terdedah kepadanya berbanding wanita. Pada kebiasaannya pesakit akan dirawat menggunakan kimoterapi dan hanya 40% daripadanya mampu untuk terus hidup melebihi 5 tahun, selebihnya ada yang meninggal dunia kurang daripada dua tahun selepas tempoh rawatan.

  • Chronic myeloid leukemia (CML)
Pengidap utamanya adalah orang dewasa, ubat yang biasanya digunakan bagi merawat penyakit ini adalah ubat kimoterapi dan 50% pesakit yang menerima rawatan ini akan terus hidup melebihi tempoh 5 tahun.

  • Acute lymphocytic leukemia (ALL)
Leukemia jenis ini adalah yang paling biasa menyerang kanak-kanak, walau bagaimana pun, orang dewasa juga berisiko menghidapinya, terutamanya mereka yang berusia lebih dari 65 tahun. Tahap survival terhadap penyakit ini adalah 85% di kalangan kanak-kanak dan 50% dari kalangan orang dewasa.

  • Chronic lymphocytic leukemia (CLL)
Leukemia jenis ini adalah yang paling biasa menyerang mereka yang berusia lebih dari 55 tahun, namun kanak-kanak juga ada yang mengidapinya namun serangan terhadap kanak-kanak adalah sangat jarang berlaku. Majoriti pesakit leukemia jenis ini adalah golongan lelaki.

perbezaan antara Acute dan Chronic Leukemia.
Leukemia jenis Acute adalah leukemia yang merebak dengan pantas sehingga mampu menjejaskan sel pada tulang sum-sum dan juga darah dengan kadar yang cepat, berbeza dengan Leukemia jenis Chronic dimana proses jangkitan adalah perlahan namun keadaan ini sebenarnya memberi lebih masa untuk sel leukemia untuk menjadi lebih matang.

Tanda-tanda leukemia
Terdapat beberapa simptom seseorang itu telah terkena serangan leukemia (namun pemeriksaan bersama doktor adalah disarankan bagi mengetahui ketepatan penyakit yang dialami) antaranya adalah:

  • Merasa kesakitan pada tulang atau sendi
  • Terdapat bengkak yang luar biasa pada saluran kelenjar, namun tidak menyakitkan.
  • Demam, menggigil dan berpeluh pada waktu malam.
  • Loya dan selalu letih.
  • Mudah luka atau lebam.
  • Mudah dijangkiti penyakit.
  • Ketidakselesaan atau bengkak pada bahagian abdomen.
  • Hilang selera makan.
  • Penurunan berat badan yang luar biasa.

Carcinoma
Carcinoma adalah sejenis kanser yang bermula dalam sel-sel yang membentuk kulit manusia atau lapisan tisu organ, seperti hati atau buah pinggang. Seperti lain-lain jenis kanser, carsinoma adalah sel-sel yang tidak normal yang membahagi tanpa kawalan. Mereka mampu untuk merebak ke bahagian badan yang lain, namun hal ini agak jarang berlaku. Carcinoma berbeza dengan "carsinoma in situ" dimana carcinoma in situ tidak merebak dan kekal di dalam sel di mana ia bermula.

Jenis-jenis Carcinoma
Carcinoma boleh terjadi pada banyak tempat pada bahagian tubuh manusia, namun terdapat beberapa jenis carcinoma yang sering diperkatakan, diantaranya adalah:

  • Basal cell carcinoma - biasanya menyerang bahagian paling dalam pada lapisan luar kulit manusia. Rawatan segera adalah perlu bagi mengelakkan terjadinya parut kekal. Basal cell carcinoma biasanya kelihatan seperti:

  1. Luka terbuka.
  2. Tompok merah.
  3. Ketumbuhan pink.
  4. Lebam atau parut yang berkilat.

  • Squamous cell carcinoma - biasanya muncul pada kulit dan sering dikaitkan dengan kanser kulit, namun kanser jenis ini juga boleh muncul pada kawasan yang lain seperti di saluran pernafasan dan juga pada saluran penghadaman. Pada kebiasaannya, kawasan yang selalu diserang oleh kanser jenis ini adalah di sekitar:

  1. Muka
  2. Telinga
  3. Leher
  4. Bibir
  5. Bahagian belakang lengan

Squamous cell carcinoma yang terjadi adalah disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan di bawah sinaran matahari tanpa sebarang perlindungan seperti krim pelindungan matahari. Kecenderungan kanser jenis ini untuk merebak adalah lebih tinggi berbanding dengan Basal cell carcinoma dan biasanya berbentuk tompok merah bersisik, luka yang terbuka dan ketumbuhan seperti ketuat. Terdapat juga kes dimana Squamous cell carcinoma boleh merebak sehingga ke nodus limfa.

  • Renal cell carcinoma - merupakan kanser yang paling kerap menyerang buah pinggang. Ia biasanya tumbuh sebagai tumor tunggal di dalam buah pinggang. Kanser jenis ini sukar dikesan dan biasanya akan dijumpai hanya melalui kaedah imbasan seperti CT Scan atau ultrasound. Dalam kebanyakkan kes, ketumbuhan ini sudah sangat besar atau sudah merebak kepada organ-organ yang lain apabila berjaya dijumpai.

  • Ductal carcinoma in situ (DCIS) - dianggap sebagai pra-kanser dan biasanya dijumpai di dalam sel-sel pada saluran payudara namun tidak merebak kepada bahagian yang lain. Kebanyakkan daripada wanita yang telah didiagnos dengan ketumbuhan jenis ini berjaya diubati.

  • Invasive ductal carcinoma - Merupakan sejenis kanser payudara, yang bermula daripada dari dalam salur susu, kemudian merebak ke dalam tisu lemak payudara, dan mampu untuk merebak ke bahagian yang lain di dalam tubuh melalui sistem limfa atau saluran darah. Kanser jenis ini biasanya akan ditemui semasa ujian saringan mamogram. Antara gejala-gejalanya adalah:

  1. Penebalan kulit payudara.
  2. Ruam atau kemerahan pada payudara.
  3. Bengkak pada payudara.
  4. Sakit secara tiba-tiba pada salah satu payudara.
  5. Terdapat lekukan pada puting atau sekitar payudara.
  6. Puting payudara yang sakit dan beralih ke dalam.
  7. ketulan di kawasan bawah ketiak.

  • Adenocarcinoma - Kanser jenis ini merupakan kanser yang biasanya bermula pada kawasan yang dipanggil dengan "sel-sel kelenjar". Tugas sel-sel kelenjar ini adalah membuat lendir seperti air liur, dan cecair lain seperti air mata, peluh atau hormon yang diperlukan oleh tubuh kita. Sel-sel kelenjar dapat ditemui pada beberapa organ utama di dalam tubuh manusia seperti pankreas. Adenocarcinoma boleh menyerang beberapa jenis organ kelenjar di dalam badan, antaranya adalah paru-paru, pankreas dan juga kolorektal (saluran usus).
 
Artikel terpelihara - lawankanser.net (Malaysia) 2009 - 2017
Back to content | Back to main menu