Kanser Hati - Ubat Penawar Kanser Efektif - Keladi Tikus Malaysia (Typhonium Flagelliforme, Rodent Tuber, Laoshu yu)

Go to content

Main menu:

Maklumat Kanser > Senarai Kanser
Hati merupakan organ dalaman yang terbesar di dalam tubuh kita, ia berfungsi merungkai dan menyimpan kebanyakkan daripada nutrisi yang diserap oleh usus untuk keperluan tubuh. Beberapa nutrisi perlu diubah di dalam hati sebelum ianya boleh digunakan sebagai tenaga atau untuk membina serta membaiki tisu badan. Hati perlu dijaga sebaiknya dengan menjaga pemakanan, jika tidak, kemungkinan untuk hati diserang oleh kanser adalah tinggi. Terdapat dua jenis kanser hati yan telah dikenal pasti, antaranya adalah:

  • Kanser hati primer
Kanser hati primer (utama) merupakan sejenis kanser yang terbentuk di dalam hati itu sendiri dan bukan dijangkiti daripada sel kanser dari luar. Keadaan ini terjadi apabila terdapatnya perubahan pada sel-sel normal di dalam hati menjadi tidak normal disebabkan oleh peningkatan bahan toksik melebihi kemampuan yang boleh diproses oleh hati, hal ini akan mewujudkan sel kanser yang menjadi pemusnah kepada keseluruhan hati dan boleh merebak pada organ yang berhampiran. Sel-sel malignan yang berkembang di dalam hati ini dikenali dengan hepatocellular carcinoma manakala kanser yang wujud pada saluran hati pula dipanggil cholangiocarcinoma.

  • Kanser hati metastatik
Berbeza dengan kanser hati primer, kanser hati metastatik pula adalah kanser bermula daripada organ lain di dalam badan terlebih dahulu sebelum merebak ke hati melalui saluran darah. Kanser yang biasanya menyerang hati ini adalah kanser payudara, kolon, pundi kencing, buah pinggang, ovari, pankreas, perut, rahim dan kanser paru-paru.

Kanser hati adalah sejenis penyakit kronik, ia adalah kanser yang agresif dan perlu dirawat dengan segera sebaik sahaja berjaya dikesan. Kadar insiden kanser hati di Amerika Syarikat telah menunjukkan peningkatan, disebabkan oleh penyakit hepatitis C kronik dan juga disebabkan oleh penyakit hati berlemak, makanan segera yang tinggi kandungan lemak dilihat menjadi punca permasalahan ini. Terdapat banyak rawatan alternatif bagi kanser hati, namun ianya sangat bergantung kepada sejauh mana kanser itu telah merebak, tahap kesihatan hati serta tahap kesihatan keseluruhan pesakit itu sendiri.


Contoh kanser hati tahap 4 yang menyerang 2/3 daripada keseluruhan hati.

Tanda-tanda kanser hati
Terdapat beberapa tanda-tanda kanser hati yang boleh dijadikan rujukan awalan, selebihnya pesakit perlu berjumpa dengan doktor bagi mengesahkan simptom yang ada, antaranya adalah:

  • Penyakit kuning - tanda-tanda kuning akan kelihatan pada kulit, lidah serta putih mata.

  • Sakit perut yang luar biasa - biasanya sakit di sebelah kanan perut, dan kesakitan itu boleh terasa sehingga ke bahagian bahu tanpa sebab munasabah.

  • Kehilangan berat badan - badan akan mengalami kehilangan berat bukan disebabkan oleh senaman, diet atau sebagainya.

  • Kembung perut - hati sedang membesar yang juga dikenali dengan panggilan Hepatomegaly.

  • Sakit belakang - ia berkaitan dengan sel kanser yang sedang merebak.

  • Kerap mengalami loya, muntah, demam serta keletihan.

Punca kanser hati
Terdapat beberapa punca yang menjadi penyebab kanser hati, antaranya adalah:

  • Anabolic steroid - Sejenis steroid sintetik yang menyerupai hormon testosteron dalam menggalakkan pertumbuhan otot. Steroid jenis ini digunakan secara perubatan untuk merawat beberapa jenis penyakit penurunan berat badan, ianya juga turut digunakan secara tidak sah oleh atlet bagi meningkatkan prestasi fizikal.

  • Alkohol - pengambilan alkohol merupakan salah satu daripada punca utama kanser hati. Kandungan alkohol yang tinggi yang diproses pada hati akan meningkatkan kadar toksik yang boleh menyebabkan wujudnya persekitaran yang sesuai untuk tercetusnya kanser.

  • Aflatoxin - Sejenis bahan yang diperbuat daripada kulat dan biasanya dijumpai di dalam gandum, kacang tanah, jagung, bijirin serta kacang soya. Pendedahan yang berpanjangan terhadap kulat jenis ini boleh mengakibatkan terjadinya kanser hati dan permasalahan ini biasanya terjadi pada negara ketiga.

  • Cirrhosis - Salah satu sebab terjadinya kanser hati apabila terdapat sel hati yang rosak menjadi parut. Mereka yang mempunyai sirosis hati dikenal pasti mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser hati.

  • Diabetes - Pesakit kencing manis, terutamanya mereka yang juga mempunyai hepatitis, atau mereka yang kerap mengambil banyak alkohol, adalah lebih cenderung untuk mengidap kanser hati.

  • Keturunan - orang yang ibunya, atau ayahnya, atau sesiapa sahaja di dalam keluarganya pernah mengidap kanser hati juga mempunyai risiko untuk membina kanser hati pada dirinya sendiri.

  • Kekurangan L carnitine - terdapat kajian menunjukkan bahawa kekurangan L carnitine (pecahan daripada asid amino) di dalam tubuh boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser hati.

  • Penyakit hati - orang dengan hepatitis B atau C mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk membina kanser hati berbanding individu yang sihat. Menurut statistik, hepatitis C merupakan punca paling biasa untuk kanser hati di Amerika Syarikat.

  • Kadar imuniti yang rendah - mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti pesakit HIV / AIDS mempunyai risiko lima kali ganda untuk mendapat kanser hati berbanding dengan individu sihat yang lain.

  • Obesiti - berat badan yang berlebihan bukan sahaja dapat meningkatkan risiko kanser hati, malah ianya juga dapat menimbulkan pelbagai jenis permasalahan kesihatan yang lain seperti rabun, darah tinggi dan juga kencing manis.

  • Merokok - mereka yang merokok mempunyai kecenderungan untuk mendapatkan kanser hati di dalam kehidupan mereka berbanding bukan perokok. Kajian menunjukkan bahawa selain tidak mempunyai sebarang faedah untuk kesihatan, tabiat merokok juga mewujudkan satu suasana yang sangat tidak sihat pada diri dan kawasan sekeliling. Selain kanser hati, merokok juga boleh membina pelbagai jenis kanser termasuk kanser mulut, lidah, paru-paru dan usus.

  • Arsenik - mereka yang terdedah kepada racun arsenik dalam tempoh masa yang lama, contohnya air yang dicemari arsenik adalah berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati dan beberapa jenis kanser lagi. Pemantauan adalah perlu bagi memastikan sumber air itu tidak dicemari oleh sebarang benda asing yang boleh memudaratkan kesihatan.
 
Artikel terpelihara - lawankanser.net (Malaysia) 2009 - 2017
Back to content | Back to main menu